KUALA LUMPUR – Isteri didakwa sedang berbadan dua, penyanyi Syamel memilih untuk terus berteka-teki dengan tidak mengiyakan mahupun menidakkan khabar angin tersebut.
Menyerahkan semuanya kepada Allah, Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 31, berkata, dia dan Ernie ketika ini mahu lebih fokus terhadap kerjaya seni.
“Kalau ada rezeki untuk menimang cahaya mata kedua, saya dan Ernie tidak pernah menolak.
“Cuma buat masa sekarang kami gembira memenuhi tuntutan kerjaya masing-masing, jadi biarlah isteri saya bekerja dahulu sebelum rehat panjang selama sembilan bulan.
“Apapun saya tidak menidakkan semua itu, Ernie sekarang pun tengah ‘all out’ bersenam, jadi saya enggan bunuh semangat dia. Kami tak menolak jika ada rezeki,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata demikian ketika sidang media lagu terbaharunya berjudul Hamba Cinta, di sini, hari ini.
Terdahulu, spekulasi tercetus apabila netizen mendakwa pelantun lagu Masing-Masing itu hamil lagi memandangkan anaknya , Nur Khawla Soleha, sudah mencecah dua tahun.
Lebih menguatkan dakwaan apabila Syamel menghadiri temu bual di salah sebuah stesen radio dan bercakap mengenai perkara tersebut dalam nada bergurau. – KOSMO! ONLINE