KUCHING – Aspek kebajikan skuad bola sepak Kelantan yang bertanding di Sukan Malaysia (Sukma) tidak pernah diabaikan sebaliknya pemain akan diberikan insentif tambahan setiap kali memperoleh kemenangan.
Pengurus pasukan, Datuk Azmi Ariffin, berkata pihaknya menafikan berita yang mengatakan skuad Kelantan dianaktirikan hingga tidak diberikan kelengkapan asas.
“Kebajikan mereka dijaga sepenuhnya dan mereka juga ditawarkan untuk berpindah ke hotel selepas kemenangan dengan Johor. Tetapi pasukan menolak untuk berpindah ke hotel kerana selesa dengan perkampungan sukan di UiTM (Universiti Teknologi Mara).
“Mereka hanya meminta menaikan elaun tambahan kemenangan, Alhamdulilah mereka dapat elaun kemenangan tambahan. Mengenai baju berwarna-warni masa makan adalah kebetulan baju mereka dihantar ke dobi.
“Sepanjang berada di sana semua pasukan memakai pakaian seragam, itu adalah syarat dan arahan daripada pihak pengurusan. Mengenai baju kontinjen, ada disediakn cuma berlaku kelewatan beberapa peralatan seperti beg dari pembekal yang menghantar ke pejabat MSNK (Majlis Sukan Negeri Kelantan),” katanya.
Sejak semalam, gambar yang menunjukkan pemain skuad Sukma Kelantan makan tanpa mengenakan pakaian rasmi kontinjen tular hingga mencetuskan ‘buah mulut’ dikalangan peminat tempatan.
Sebagai individu bertanggungjawab ke atas pasukan, Azmi menafikan berita yang tular ketika ini dan bertegas setiap pemain yang terdiri daripada skuad Piala Presiden bergaji tetap mengikut persetujuan dalam kontrak.
“Pemain dan pegawai Sukma adalah bergaji bulanan dalam kontrak Piala Presiden sehingga Nov 2024. Pemain dan pegawai dibayar elaun setiap kali kemenangan di Sukma dan mendapat keperluan yang secukupnya sepanjang Piala Presiden dan Sukma.
“Ada di antara pemain selepas selesai Sukma minta untuk bercuti di Kota Kinabalu dan pihak pengurusan juga telah membeli tiket mereka ke Kota Kinabalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE