KUCHING – Kerancakan gelanggang silat Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Stadium Bandaraya, Miri sedikit terencat selepas berlaku kekecohan membabitkan kejadian baling botol ke dalam gelanggang.
Insiden berkenaan dikatakan terjadi semasa perhitungan suku akhir kategori Bawah 45 kilogram (kg) membabitkan pesilat tuan rumah, Iman Syakilla Mahdi dan peserta Wilayah Persektuan, Nurin Alyaa Damia Mohd Masran.
Kejayaan Nurin mendahului Iman Syakilla menyaksikan pertarungan terpaksa dihentikan dan tinjauan di aplikasi Sukma 2024 menyaksikan pertarungan itu masih lagi ditangguh.
Akibat daripada insiden berkenaan, Utusan Borneo melaporkan jawatankuasa penganjur telah menghentikan perlawanan di kedua-dua arena satu dan dua bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Keputusan sama ada untuk meneruskan perlawanan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pihak jawatankuasa pertandingan selepas perbincangan bersama.
Bagaimanapun, setakat ini difahamkan semua kontinjen diarahkan balik ke penginapan masing-masing. – KOSMO! ONLINE