KUCHING – Walaupun lebih layak dianggap ‘anak milenium’, penembak sensasi Pahang, Cheah Zen Hong lebih memilih cara ‘old school’ untuk menyimpan segala resipi rahsia hingga berjaya membidik tujuh pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Penembak kelahiran Kuantan itu selesa untuk menyimpan data dan cerita suka dukanya secara tulisan tangan dalam diari istimewa berwarna merah yang sering dibawa kemana saja pertandingan disertainya.
Diari berkenaan dianggap sebagai ‘guru’ yang akan sentiasa berperanan beri ingatan kepadanya supaya tidak melakukan kesilapan sama seperti pertandingan terdahulu.
“Buku itu saya tulis apa yang saya buat setiap hari ketika latihan dan kejohanan. Saya akan tulis juga selepas sertai kejohanan menembak.
“Perkara itu penting kerana ia seolah membantu saya memberi gambaran sebenar bila baca balik tulisan itu. Saya akan ingat apa yang bagus dan perlu buat untuk dapat keputusan terbaik,” katanya.
Sebelum ini Zen Hong memenangi pingat emas menerusi acara 25 meter (m) Pistol, 10m Air Pistol, 25m Pistol Standard, kesemuanya dalam kategori individu dan berpasukan.
Terbaharu, Zen Hong bersama pasanganya, Wan Nyr Afiqah Wan Mohd Haneef meraih emas dalam kategori 10m Air Pistol campuran. – KOSMO! ONLINE