PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM20 juta menerusi serbuan Op Tiris 3.0 yang dijalankan di beberapa premis di sekitar Perak, Selangor dan Johor pada 9 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan ke atas syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak itu dibuat menerusi operasi bersepadu setelah risikan selama beberapa bulan dilakukan.
“Hasil maklumat awal diperolehi, modus operandi sindiket adalah melibatkan proses penghantaran minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dilakukan oleh pengilang minyak masak beroperasi di Ipoh, Perak ke tiga syarikat pembungkusan minyak masak (repackers) di negeri sama.
“Namun, penghantaran tersebut sebaliknya tidak berlaku, tetapi dihantar ke syarikat-syarikat pemborong minyak masak di Selangor dan Johor dalam kuantiti tertentu.
“Minyak masak bersubsidi terbabit sebahagiannya dikumpulkan di syarikat pemborong di Selangor, manakala selebihnya dikumpulkan di sebuah syarikat pemborong minyak masak di Johor,” katanya menerusi sidang akhbar, di sini hari ini.
Katanya, minyak masak itu seterusnya dibungkuskan semula menggunakan bungkusan minyak masak botol dan dijual di pasaran mengikut harga minyak masak botol bukan bersubsidi. – KOSMO! ONLINE