KOTA BHARU – Polis Kelantan akan melupus sebanyak 14 jenis dadah bernilai lebih RM89.3 juta yang dirampas sejak 1997 sehingga tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah barang kes yang dilupus itu melibatkan sebanyak 3,808 kertas siasatan selepas melalui proses mahkamah dan telah mendapat arahan untuk proses pelupusan.
Menurutnya, dadah yang akan dilupuskan adalah pil kuda sebanyak lebih 5.8 kilogram (kg), syabu (799 kg), heroin (492 gram), kanabis (5.5 kg), air ketum (243 liter) dan daun ketum (711 kg).
“Selain itu, pelupusan itu turut melibatkan dadah jenis nimetazepam dengan berat 238.4 gram, kodein (0.5 liter), diphendramine (301.6 liter), pil ekstasi (159 gram) dan pil psikotropik (264.6 gram).
“Dadah jenis ketamin seberat 0.76 gram, methadone (0.0006 liter) dan diclofenac (2.12 gram) juga akan melalui proses pelupusan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pelupusan dadah itu merupakan proses yang pertama dilakukan pada tahun ini kerana hanya proses pelupusan rapi dilakukan pada 2023.
Menurutnya, proses pelupusan barang kes itu akan dilakukan esok oleh syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
“Pelupusan barang kes dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merekodkan sebanyak 17,694 tangkapan dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM10.33 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Katanya, nilai sitaan aset pengedar dadah pula dianggarkan berjumlah RM3.7 juta dan seramai 69 individu telah diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985. – KOSMO! ONLINE