fbpx

Projek Hidroelektrik Nenggiri: Orang Asli dapat pampasan RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Nazri (kiri) menyampaikan replika cek pampasan penduduk kepada Liman di Pos Tohoi, Gua Musang hari ini. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar pampasan sebanyak RM10 juta secara berperingkat kepada masyarakat Orang Asli Pos Tohoi dan Pos Pulat yang terlibat dalam pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd, Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, sebanyak 245 buah keluarga dibayar pampasan mengikut keluasan tanah dan jumlah tanaman yang terpaksa ditebang atau rosak.

“Kami juga menyediakan penempatan baharu, dusun dan ladang getah termasuk infrastruktur yang diperlukan seperti sekolah, surau, bekalan elektrik selain bekalan air.

“Kita menjangkakan penempatan itu boleh diduduki pada pertengahan 2026,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pos Pulat di Pos Tohoi, di sini hari ini.

Muhamad Nazri berkata, dua bayaran pampasan dilakukan pada 9 dan 14 Ogos lalu dan keluarga Orang Asli terlibat juga akan menerima elaun sara hidup selama lima tahun sehingga kebun getah mereka mengeluarkan hasil selain elaun perpindahan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Pulat, Liman Ahong berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan pembinaan penempatan baharu yang tidak jauh dari kampung asal dan penduduk boleh mengekalkan pekerjaan tradisi mencari hasil hutan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI