SEPANYOL – Bintang Perancis, Kylian Mbappe yang meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk menyertai Real Madrid pada musim panas ini telah pun meraih trofi pertamanya selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Atalanta pada aksi Piala Super UEFA minggu lalu.
Namun, debut La Liga pertamanya bersama Real kelmarin ketika menentang Mallorca di Estadi Mallorca Son Moix tidak berjalan lancar apabila pasukan itu sekadar terikat 1-1 biarpun mereka dipenuh pemain bintang termasukan Mbappe.
Lebih menarik, aksi tersebut mengundang reaksi pelbagai daripada para peminat Real yang mula menunjukkan kebimbangan mengenai corak permainan Mbappe bersama pasukan tersebut dan kombinasinya dengan rakan sepasukannya.
Sepanjang perlawanan berlangsung, peminat di media sosial melihat bahawa Mbappe, Vinícius Júnior dan Rodrygo lebih cenderung untuk bermain di bahagian kiri yang biasanya merupakan posisi utama Vinicius sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan taktikal pasukan.
Seorang peminat memuat naik status di media sosial apabila menganalisis ketiga-tiga pemain tersebut seakan ‘berebut’ untuk bermain sebagai pemain sayap kiri sehingga berlaku ketidakseimbangan formasi.
“Mungkin memiliki tiga pemain yang semuanya lebih cenderung bermain di posisi LW bukanlah idea yang baik. Mari kita mulakan Arda Guler bersama Vinícius dan Mbappe,” katanya.
Beberapa peminat lain turut berharap pengendali pasukan itu, Carlo Ancelotti mampu merencanakan strategi terbaik supaya mereka mampu memanfaatkan bakat-bakat pemain di bahagian serangan pada tahap tertinggi. – AGENSI