PETALING JAYA — Pernah terjebak selama dua tahun dalam ajaran sesat Millah Abraham kerana mengikut kekasih, pelakon Pablo Amirul penuh sesal malah mengakui dia kini memilih untuk kembali ke ajaran Islam yang betul.
Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd. Sakri, 39, juga meminta orang ramai agar melaporkan hal yang diceritakannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam (JAIS).
“Millah Abraham yang buat saya jadi tak betul, jadi gila dan terasing. Kalian kena tahu pasal bahawa ajaran ini macam agama baharu, kita ikut ajaran Nabi Ibrahim tak ikut Nabi Muhammad.
“Dua tahun saya dalam terperangkap. Sesiapa boleh ‘tag’ PDRM dan JAIS, saya nak buat pengakuan nak cerita semua pasal Millah Abraham ni.
“Ya, saya sesat, sebab itu kononnya nak belajar mengenal Tuhan tetapi rupanya sesat. Tolong lapor kepada polis dan sesiapa sahaja tentang ini,” katanya penuh sesal.
Pelakon filem Polis Evo itu juga turut menyebut nama seorang wanita yang dikenali sebagai Fatin yang didakwa menjadi penyebab utama dia menyertai ajaran sesat tersebut.
Pada masa sama, Pablo turut mendakwa wanita yang bekerja sebagai juruterbang itu telah meninggalkan dirinya kerana mempunyai hubungan sulit bersama seorang ahli politik.
“Fatin Nabila Musa seorang Millah Abraham yang jatuh cinta dengan suami orang. Aku sayang dia gila-gila tak sangka ada skandal dengan seorang Tan Sri.
“Juruterbang tapi hidup dibela, harapkan duit orang! Kau tinggalkan aku sebab aku tak ada duit dan tak berkehendak. Pasal kau aku bersaksi, pasal kau aku masuk Millah Abraham, tapi apa yang aku dapat,” ujarnya.
Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Menurut ajaran sesat tersebut, Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad telah berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baharu iaitu Millah Ibrahim.
Selain itu, mereka turut menggelarkan sesiapa yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham ini sebagai sesat, kafir dan syirik serta wajib bertaubat dengan ajaran berkenaan. — KOSMO! ONLINE