fbpx

‘Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Rakyat Palestin yang cedera bersama waris mereka yang dibawa ke Malaysia akan dihantar pulang semula selepas selesai rawatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata, perkara itu telah dipersetujui melalui perjanjian yang dibuat bersama dengan pemimpin-pemimpin di Palestin.

Dalam pada itu, Mohamad mendedahkan, rakyat Palestin juga sebenarnya tidak mahu keluar dan meninggalkan tanah air mereka.

“Mereka lebih rela mati di tanah air sendiri dan dengan janji kita membawa mereka ke sini untuk memberikan bantuan perubatan kepada mereka yang cedera dan kita mesti menghantar mereka pulang.

“Tiada persoalan sama ada rakyat Palestin akan menetap di Malaysia kerana mereka mahu pulang ke tanah air mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa rakyat Palestin yang dibawa masuk ke negara ini akan ditempatkan di beberapa negeri.

Sebelum ini, media melaporkan 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 waris mereka tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sebagai masyarakat antarabangsa, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai hati nurani terhadap penderitaan.

“Sedikit yang kita buat itu janganlah menjadi perkara yang perlu dihebohkan. Ada negeri-negeri yang risau mengatakan kita akan menghantar rakyat Palestin duduk di sana.

“Tidak ada kerana kita telah janji. Bagi hubungan dua hala, saya yang menentukan selepas itu operasinya diuruskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Mereka (pihak Palestin) juga minta supaya kita memperakukan bahawa anak-anak yang (cedera) itu kita bawa (ke sini) dan akan dihantar pulang semula,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI