KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu semua peringkat dalam parti itu untuk terus bekerja kuat serta melipatkan ganda usaha bagi memulihkan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO.
Menurut beliau, tiada jalan mudah untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu kerana ia akan mengambil masa, namun itulah harga sebuah perjuangan.
“Strategi paling penting untuk kita mengembalikan kepercayaan ini adalah dengan mengembalikan kesatuan kita sebagai sebuah parti.
“UMNO mesti kukuh bersatu, dan ahli mesti kekal bersetia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung, Wanita dan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebentar tadi.
Tambah beliau, keyakinan orang Melayu kepada UMNO akan berputik apabila parti dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas dalam kerjasama dan persefahaman.
Katanya, UMNO kini sedang melalui fasa yang tenang.
“Kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecah belahkan parti.
“Kepimpinan UMNO jelas dengan fokusnya, dalam kerajaan dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
“Oleh yang demikian, kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti. Segala macam kepuakan mesti kita jauhi dan hapuskan,” tegasnya.
Bagaiamanapun, Mohamad berkata, UMNO tidak boleh hidup dalam penafian.
“Menjadi sebahagian daripada kerajaan jangan sesekali melalaikan kita kerana kita tidak pun berkuasa sepenuhnya. Sebaliknya, kita waktu ini hanya pelengkap kepada kerajaan perpaduan.
“Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE