fbpx

‘Kaunter Khas’, Imigresen tidak lindungi pegawai terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana pejabat imigresen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya ingin menyentuh mengenai penahanan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Penahanan itu berikutan pegawai terbabit disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

“Imigresen mengalu-alukan tindakan ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

“Kami menegaskan tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana yang melakukan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta negara,” katanya hari ini.

Menurut beliau, tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

“Imigresen serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai sentiasa berada di tahap maksimum.

“Kami juga mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku Pegawai Imigresen seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kesalahan tatatertib dan rasuah melalui talian 03-8880 1246 atau melalui e-mel [email protected],” tegasnya.

Hari ini, SPRM mengesahkan empat penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ditahan reman selepas dipercayai rasuah membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Tiga penguat kuasa lelaki direman selama lima hari sehingga 25 Ogos, manakala seorang lagi penguat kuasa lelaki direman selama tiga hari sehingga Jumaat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI