LONDON – Pelumba pasukan Ferrari, Charles Leclerc dilihat tidak sabar untuk ‘menyerap’ aura juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton apabila akan bergandingan dengan pemandu Britain tersebut dalam perlumbaan Formula Satu (F1) pada musim depan.
Pasukan Ferrari telah menandatangani Hamilton sebelum kempen 2024 bermula selepas tindakan bijak ketua pasukan, Frederic Vasseur memanfaatkan klausa perpindahan tersebut untuk menarik pemandu berusia 39 tahun itu ke Maranello, Itali.
Pada musim 2025 nanti, Hamilton akan menggantikan tempat Carlos Sainz dan menjadi rakan sepasukan Leclerc yang keempat dalam dalam perlumbaan F1 selepas selepas Marcus Ericsson (Sauber) dan Sebastian Vettel.
“Apabila seorang juara dunia tujuh kali menyertai pasukan, itu sentiasa berita baik buat seseorang pemandu seperti saya kerana dapat memberi motivasi kepada saya.
“Saya juga dapat belajar daripada salah seorang pemandu Formula Satu terbaik yang pernah ada. Yang kedua, saya juga boleh menunjukkan apa yang saya mampu lakukan berbanding Lewis (Hamilton) dalam kereta yang sama.
“Apabila anda mengambil pemandu seperti Lewis dalam pasukan, ia jelas merupakan satu petanda yang kuat. Saya fikir itu boleh menjadi perkara positif dari pihak kami dan boleh menarik beberapa individu penting ke dalam pasukan ini.
“Jadi, saya melihat itu sebagai sesuatu yang positif. Jadi, saya sangat menantikan kedatangan Hamilton bersama Ferrari pada musim depan,” kata pemandu Monaco tersebut. – AGENSI