KUALA TERENGGANU – Dua pegawai dan anggota Maritim Malaysia (APMM) cedera dilibas dengan senjata tajam oleh nelayan Vietnam yang agresif sewaktu melalukan tugasan penguatkuasaan Op Naga Barat di sempadan perairan negara dekat sini dalam kejadian pada pukul 6.45 petang semalam.
Pengarah Maritim Terengganu, Khairulanuar Abd. Majid berkata, kedua-dua mangsa cedera pada bahagian rusuk kiri, tangan dan kaki, manakala seorang anggota APMM lain terjatuh ke dalam laut sewaktu bergelut dengan nelayan Vietnam terbabit bagi menyelamatkan dua rakan sekerjanya.
“Pada mulanya, kesemua kru Kapal Maritim (KM) Rawa itu menahan bot nelayan asing terbabit yang disyaki menceroboh perairan negara pada kedudukan 231.5 kilometer dari perairan Kuala Terengganu. Nelayan-nelayan asing itu kemudian bertindak agresif menyerang pasukan penguat kuasa APMM yang sedang mengeledah bot terbabit,” katanya di sini hari ini.
Khairulanuar berkata, serangan itu berjaya dipatahkan kru KM Rawa lain sebelum bertindak mengusir bot nelayan asing berkenaan keluar dari perairan negara dengan bantuan kapal penguatkuasaan maritim Vietnam .
Menurut beliau, KM Rawa kemudian bergegas berpatah balik ke Jeti Maritim Terengganu bagi membolehkan dua krunya yang cedera menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) – KOSMO! ONLINE