IPOH – Polis belum menerima laporan berhubung insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah kedai makan, di sini seperti yang tular dalam media sosial, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semakan mendapati tiada laporan polis dibuat mana-mana individu, setakat ini.
“Insiden itu memang berlaku dan telah dileraikan oleh anggota polis yang dalam tugasan ronda. Difahamkan, punca pergaduhan itu kerana pekerja tersilap hantar makanan ke meja lain.
“Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut berkaitan kejadian itu kerana tiada pihak yang tampil membuat laporan polis,” katanya, di sini hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan pergaduhan sekumpulan individu menggunakan kerusi plastik di sebuah kedai makan. – KOSMO! ONLINE