PETALING JAYA – Ramai mempersoalkan sikap segelintir penunggang motosikal yang dilihat gemar mengikut rapat di belakang lori ataupun berada betul-betul di kawasan titik buta kenderaan berat tersebut ketika melalui jalan raya.
“Berapa banyak jimat minyak ikut rapat belakang lori ya? Seronok bau asap lori kah? Memang perlu ya bawa motor rapat-rapat dengan lori, treler atau kenderaan lain?,” itu antara pertanyaan yang dikemukan orang ramai setiap kali melihat video memaparkan tindakan kurang bijak golongan penunggang motosikal.
Situasi ini juga dapat dilihat sering berlaku di persimpangan lampu isyarat apabila kebanyakan penunggang motosikal berhenti di sebelah lori atau treler dengan alasan mahu berteduh seketika.
Menerusi beberapa rakaman serta gambar yang dikongsikan di media sosial berhubung situasi tersebut, rata-ratanya menegur tindakan penunggang terbabit kerana keadaan itu mengundang bahaya kepada mereka.
“Agak-agak macam mana keadaan anda (penunggang motosikal) jika lori ini ambil lajak di simpang dan seret anda di sebelah? Kalau tiba-tiba pula ‘lock tipper’ lori patah, agak-agak tertimbus tak penunggang yang ikut rapat?.
“Tak mustahil juga yang ikut rapat belakang lori ini boleh terlajak masuk bawah lori, siap pakej kena gilis kalau lori tu berhenti mengejut. Benda ni tak mustahil, ia boleh terjadi. Masa lori berjalan pun tayar boleh tercabut, terpelanting kena rider sebelah. Tekanan pada lori besar ini boleh tertarik motosikal masuk bawah lori.
“Jadi berhati-hatilah. Kepada pengguna-pengguna motorsikal, hargailah nyawa anda. Jangan sebab nak teduh, nak mudah, nak senang anda pertaruh nyawa sendiri atau orang lain di jalan raya,” kata beberapa pengguna yang menjelaskan antara kesan bahaya daripada tindakan tersebut.
Sementara itu, seorang individu di Facebook berkongsi pengalamannya apabila pernah berdepan dengan tayar lori meletup di jalan raya.
“Saya cukup takut kalau duduk tepi lori. Sebab pernah nampak tayar lori meletup. Syukur masa tu tak ada kenderaan dekat tepi. Saya (kenderaan) kedua belakang lori. Seram tengok,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE