PALERMO, ITALI – Pakar-pakar selam meneruskan operasi mencari enam mangsa yang masih hilang dalam tragedi kapal layar mewah karam di luar pantai Sicily, Itali kelmarin, namun persoalan muncul mengenai punca bot tersebut tenggelam.
Menurut laporan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), kapal layar tersebut dibadai belalai air (waterspout), fenomena menyerupai puting beliung di permukaan air.
Beberapa saksi memberitahu, mereka melihat belalai air muncul semasa ribut sebelum kapal bernama Bayesian itu tenggelam.
Menurut BBC Weather, berbeza daripada habuk dan serpihan yang berputar di sekeliling teras angin kencang, belalai air adalah kabus air yang berpusing dari permukaan.
Seperti puting beliung, kebanyakannya berlaku dalam masa sekejap, berlajur sempit dan tidak mudah dikesan oleh radar cuaca. Justeru, tidak banyak fenomena belalai air yang dilaporkan.
Dalam pada itu, pasukan penyelam sedang bergelut untuk mencari enam penumpang yang masih hilang termasuk usahawan teknologi Britain, Mike Lynch dan Pengerusi bank Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer.
Operasi tersebut kini memasuki hari ketiga dengan mayat seorang penumpang yang ditemui dikenal pasti sebagai cef Recaldo Thomas.
Menurut aplikasi pengesan kapal, Vesselfinder, bot itu meninggalkan pelabuhan Milazzo pada 14 Ogos dan kali terakhir dikesan di timur Palermo pada petang Ahad, dengan status navigasi ‘berlabuh’.
Kapal sepanjang 56 meter itu membawa 22 orang termasuk warga Britain, Amerika Syarikat dan Kanada.
Lima belas orang telah diselamatkan termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun.
Setakat ini, punca sebenar kapal layar itu tenggelam masih disiasat. – AGENSI