fbpx

Balu pemain bola sepak Kelantan lega terima Pencen Penakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subahan (empat dari kiri) pada majlis penyerahan sumbangan kepada Zaheran Hussin (empat dari kanan) iaitu balu Mohd Hashim di Jalan Masjid Baung Bayam, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Balu kepada legenda bola sepak negara, Allahyarham Mohd Hashim Mustapha menerima Pencen Penakat berjumlah RM22,173.67 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang merupakan bayaran terkumpul sejak Oktober 2022 sehingga kini.

Zaheran Hussien, 54 berkata, kelulusan Pencen Penakat itu memberi kelegaan kepada diri­nya selepas dua tahun suaminya yang merupakan pemain bola sepak era 80 dan 90-an itu yang menjadi pencari nafkah utama keluarga, pulang ke pangkuan Ilahi.

“Allahyarham memang ada caruman PERKESO melalui majikan terakhirnya iaitu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Dia telah memohon untuk mendapatkan Pencen Ilat selepas kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis.

“Selepas pemergiannya, saya cuba buat permohonan Pencen Penakat,” katanya.
Zaheran berkata demikian ketika ditemui pada Majlis ­Penyerahan faedah kepada waris pemain bola sepak Kelantan di rumahnya di Jalan Masjid Baung Bayam di sini semalam.

Turut hadir menyampaikan sumbangan itu ialah Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely, Pre­siden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Pe­ngarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Sementara itu, Subahan memberitahu, selepas menerima pembayaran terkumpul, Zahe­ran yang merupakan suri rumah sepenuh masa akan turut me­nerima bayaran Pencen Penakat sebanyak RM1,105 sebulan sepanjang hayatnya.

“Allahyarham yang meninggal dunia pada 26 November 2022 merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak tahun 1986 sehingga 2019.

“Dia meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang masing-masing berusia 27 hingga 32 tahun.

“Hanya balu Allahyarham menerima bayaran pencen penakat setiap bulan sehingga ke akhir hayatnya berikutan anak-anak mereka telah melebihi umur 21 tahun dan mampu mencari pendapatan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Subahan turut menekankan mengenai kepen­tingan setiap atlet mencarum dengan PERKESO kerana mempunyai banyak manfaat ketika mereka berdepan kecederaan.

Menurutnya, PERKESO mempunyai pusat rehabilitasi canggih yang telah tujuh tahun bero­perasi di Melaka dan kini sedang membina sebuah lagi pusat tersebut di Ipoh, Perak.

“Kita bakal membina sebuah lagi pusat rehabilitasi berkapasiti lebih besar di Setiu, Terengganu pada tahun depan.

“Saya sebagai orang yang telah lama terlibat dalam bidang sukan di negara ini, tahu bahawa, masih ramai atlet kita belum mencarum dengan Perkeso dan kita perlu didik mereka ke arah itu.

“Jadi, kita menggalakkan atlet mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku. Kita juga berharap persatuan bukan hanya melibatkan sukan popular, tetapi semua disiplin sukan mencarum untuk atlet mereka,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI