fbpx

70 peratus wanita Malaysia kurang Vitamin D

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Public Health Malaysia berkongsi gejala kekurangan Vitamin D di hantaran Facebook, hari ini.

PETALING JAYA – Kajian menunjukkan sekitar 60 hingga 70 peratus wanita di Malaysia mengalami masalah kekurangan Vitamin D.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), perkara itu tidak boleh diambil mudah.

“Antara gejala yang disebabkan oleh kekurangan Vitamin D ialah sakit pinggang, belakang dan kaki, rambut gugur, mudah jatuh sakit dan mengalami demam selesema.

“Selain itu, mereka juga berasa penat yang berterusan walaupun mendapat rehat mencukupi, sering berasa murung, lesu dan masalah tidur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas PHM, kekurangan vitamin itu lebih ketara dalam kalangan wanita yang tinggal di kawasan bandar kerana mereka mungkin kurang terdedah kepada cahaya matahari disebabkan gaya hidup lebih banyak berada di dalam bangunan.

“Kekurangan Vitamin D juga lebih lazim dalam kalangan wanita yang memakai pakaian menutup seluruh badan kerana ia mengurangkan pendedahan kulit kepada cahaya matahari iaitu sumber utama penghasilan vitamin D.

“Masalah kekurangan Vitamin D ini adalah isu kesihatan yang serius kerana ia boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan seperti osteoporosis, kelemahan otot dan gangguan imun.

“Oleh itu, penting bagi wanita di Malaysia untuk mendapatkan pendedahan cahaya matahari yang mencukupi dan mempertimbangkan pengambilan suplemen Vitamin D jika perlu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI