KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Republik Turkiye, Yasar Guler mengadakan kunjungan hormat ke Wisma Pertahanan di sini hari ini bagi memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan yang telah lama terjalin sejak tahun 1985.
Kehadiran Yasar bersama delegasi disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Lawatan julung kalinya ini adalah merupakan lawatan balas setelah lawatan rasmi pertama Mohamed Khaled ke Ankara pada 11 Jun 2024 lalu sekali gus mencerminkan ikatan pertahanan dua hala yang kukuh antara Malaysia dengan Turkiye.
Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu memperlihatkan kedua-dua pemimpin berbincang dengan memfokuskan kepada hubungan pertahanan secara produktif membabitkan semua aspek pertahanan termasuk kebolehoperasian ketenteraan, pendidikan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perkongsian risikan.
Menurut Mohamed Khaled, Turkiye secara terbuka menawarkan lebih banyak kerjasama dengan Malaysia dan kedua-dua negara ini sedang menyiapkan beberapa draf perjanjian bagi pengukuhan bidang pertahanan dan ketenteraan.
“Dalam konteks ini kita sedang sediakan perjanjian-perjanjian, draf-draf dan terma-terma perjanjian untuk kita tandatangan bila ianya telah diterima oleh kedua-dua kerajaan.
Kita juga akan lebih memahami mengenai teknologi dan peralatan pertahanan kerana Turkiye antara pengeluar aset ketenteraan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain kerjasama pertahanan dua hala Turkiye turut menyatakan aspirasi untuk menjadi rakan dialog di Asean dan mengambil bahagian sebagai pemerhati dalam mesyuarat Menteri Pertahanan Asean.
Beliau berkata, perbincangan dengan Yasar juga menyentuh konflik yang berterusan di Palestin, dengan kedua-dua negara berkongsi pendirian yang sama.
“Kami berdua berkongsi pendirian bahawa terdapat keperluan untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan berterusan daripada semua pihak. Bantuan kemanusiaan tidak harus disekat atau dihalang,” katanya.
Semalam, Yasar bersama Ketua Organisasi Perisikan Nasional (MIT) Ibrahim Kalin mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya. – KOSMO! ONLINE