KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berdepan kejutan terbesar apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Yokohama Arena itu, Zii Jia dilihat bergelut untuk mengeluarkan permainan sebenar sebelum tewas 18-21, 13-21 kepada pemain Perancis, Alex Lanier dalam tempoh 41 minit.
Zii Jia yang baru sahaja memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 berdepan kejutan apabila Lanier menampilkan permainan cukup kemas di set pertama sehingga menyebabkan aksi pemain berusia 26 tahun itu serba tidak menjadi.
Tewas di set pertama, pemain No.6 dunia itu kemudiannya cuba memperkemaskan permainan pada set berikutnya, namun Lanier mengekalkan aksi konsisten dan menguasai sebahagian besar perlawanan.
Harapan untuk kembali mengejar seolah-olah terpadam apabila Lanier mendahului permainan 19-13 sebelum dia melengkapkan kemenangan 21-13 bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Turut tersingkir di pusingan pertama adalah perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei yang terpaksa akur tewas 18-21, 10-21 kepada pilihan ketiga dari China, Wang Zhi Yi.
Sementara itu, dua beregu lelaki kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE