KUCHING – Tiada yang lebih berharga buat seorang anak selain daripada membanggakan ibu sendiri.
Itu kata-kata azimat yang sering dipegang oleh Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif dari Terengganu selepas merekodkan masa terpantas 14.26 saat pada saingan akhir 110 meter di Stadium Sarawak, hari ini.
Tempoh sembilan bulan sebelum temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 berlangsung menjadi detik paling sukar buatnya apabila ibu bapanya bercerai malah terpaksa bekerja secara sambilan sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Paling utama saya mahu berterima kasih kepada mak saya (Hanariah Omar). Ayah dan mak bercerai sembilan bulan lalu dan saya duduk dengan mak.
“Sebelum Sukma saya ada bekerja sambilan sebagai JPAM dari 12 malam sampai ke tujuh malam, kadang-kadang pagi itu saya terus ke latihan. Mak cukup untuk bagi (keperluan) tetapi saya mahu usaha sendiri dan sebelum bertanding, mak ada cakap buat yang terbaik.
“Mak saya bekerja sebagai tukang cuci di UiTM (Universiti Teknologi Mara). Usaha saya untuk bantu keluarga saya kerana saya orang miskin,” katanya yang berterusan menangis sejurus melepasi garisan penamat.
Tempat kedua dimenangi pelari Wilayah Persekutuan, Muhamad Fiross Mohd Faizal (14.51s) manakala Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau (Johor) meraih gangsa (14.57s).
Walaupun berdepan keperitan sepanjang melakukan persiapan, Mohamad Armin yang juga anak tunggal nekad untuk mengembangkan lagi kariernya sekaligus dapat mengeluarkan keluarganya daripada kemiskinan.
“Tiga bulan sebelum Sukma saya berhenti kerja JPAM dan fokus latihan. Perit tetapi saya tahan untuk bantu keluarga.
“Target saya nak banggakan mak, ayah dan nak ke peringkat kebangsaan serta wakili Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE