KUCHING – Atlet lompat jauh wanita Johor, Nurkhaleesa Yasmin Awang lega apabila dapat melunaskan janji kepada keluarganya selepas meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Pada saingan di Stadium Sarawak hari ini, Nurkhaleesa melakukan lompatan sejauh 5.76 meter (m), mengatasi pencabar terdekatnya dari Kelantan, Alia Batrisya Nasaruddin yang terpaksa berpuas hati meraih perak dengan 5.73m manakala gangsa jadi milik Maritza Ferrer Neil Amstrong dari Selangor selepas mencatat 5.61m.
Ketika ini, atlet dari Kulai itu mula alih perhatian untuk buru emas kedua menerusi acara lompat kijang, Khamis ini.
“Saya dedikasikan kejayaan ini kepada keluarga kerana mereka sudah banyak berkorban untuk saya. Saya memang sudah janji dengan keluarga yang saya akan dapatkan emas untuk mereka, jadi ini hadiah untuk mereka.
“Saya juga tidak mahu lepaskan peluang untuk memenangi emas dalam acara lompat kijang. Kalau saya menang, saya akan dapat insentif RM20,000 dan saya mahu gunakan duit itu bawa keluarga bercuti.
“Saya memang jarang dapat bercuti dengan keluarga disebabkan jadual saya yang padat dengan latihan dan kejohanan,” katanya.
Sebelum ini kerajaan Johor menjanjikan ganjaran sebanyak RM10,000 bagi setiap pemenang emas dalam acara individu manakala RM20,000 bagi berpasukan. – KOSMO! ONLINE