SELANGOR FC tidak rela dianggap sekadar turun melengkapkan jadual menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu nanti.
Kemenangan 2-1 ke atas Pilihan Singapura ketika menjulang Piala Sultan Selangor 2024 malam kelmarin sedikit sebanyak menjadi tonik tambahan buat skuad Gergasi Merah itu untuk merobek ego JDT.
Pemain sayap Selangor, Faisal Halim menggesa rakan sepasukan supaya memberikan segala-galanya pada aksi final nanti sebagai tanda penghargaan kepada peminat-peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan.
“Sudah tentu kemenangan malam ini (semalam) meningkatkan moral serta semangat kami untuk ke perlawanan akhir Piala FA. Ia merupakan satu perlawanan di mana tidak ada apa-apa yang perlu disimpan.
“Kami akan berikan yang terbaik demi penyokong-penyokong serta rakyat Selangor. Apa sahaja keputusan nanti, kami perlu terima kerana kami akan berjuang habis-habisan dan bukan sekadar melengkapkan aksi final,” katanya.
Pada final Piala Sultan Selangor malam kelmarin, skuad kendalian Nidzam Jamil itu memastikan kemenangan menerusi jaringan Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Faris Ramli.
Dalam pada itu, Faisal yang lebih mesra dengan panggilan Mickey diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama selain memakai lilitan kapten selepas tiga bulan berehat gara-gara tragedi hitam menimpa dirinya sebelum ini.
“Saya bermula sebagai pemain utama dan Alhamdulillah dapat menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan. Saya masih memerlukan masa untuk memperbaiki (permainan) tetapi kawan-kawan banyak bagi semangat dan motivasi.
“Kalau nak dibandingkan prestasi lama dan sekarang, belum sampai tahap maksimum lagi. Saya harap semua (pihak) dapat berikan saya ruang untuk kejar (prestasi) rakan-rakan yang lain,” ujar pemain kelahiran Pulau Pinang itu.