JAKARTA – Seorang pencuri di Palembang, wilayah Sumatera Selatan berpura-pura menjadi orang tidak siuman selepas dia ditangkap cuba melarikan rokok dari sebuah kedai, lapor laman berita Detik semalam.
Menurut pemilik kedai bernama Rustity F. Baity, 65, kejadian itu berlaku sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) semalam.
Katanya, dia ketika itu berada di rumahnya di tingkat atas apabila cucunya memberitahu bahawa terdapat seorang pencuri yang mahu melarikan rokok dari kedai.
Selepas perbuatannya dihidu, suspek cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung premis tersebut.
“Apabila berada di atas bumbung, rupa-rupanya sudah ramai penduduk melihat aksinya di luar. Sebab itu dia berpura-pura menjadi orang kurang siuman dan berlari mengelilingi bumbung,” kata Rustity.
Rustity berkata, pelaku kemudian merosakkan bumbung rumahnya dan beberapa penduduk setempat serta melemparkan kepingan zink ke arah penduduk.
Suspek kemudian terjatuh dari bumbung, menyebabkan badannya calar-balar. Dia kemudian dibawa ke balai polis setempat.
Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku mahu mencuri rokok dari kedai Rustity serta menambah, ia merupakan kali pertama dia mencuri.
Disebabkan panik, dia berlari dan memanjat bumbung serta tidak berniat untuk berpura-pura menjadi orang tidak siuman. – AGENSI