PETALING JAYA – Petronas, ADNOC dan Storegga telah memeterai perjanjian pembangunan dan kajian bersama untuk membuat penilaian tentang keupayaan simpanan pelepasan karbon dioksida (CO2) salina akuifer dan pembinaan kemudahan Simpanan Perangkap Carbon (CCS) di basin Penyu, luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Perjanjian tersebut menyasarkan kapasiti lima juta tan setahun untuk perangkap dan simpanan CO2 menjelang tahun 2030.
Skopnya pula meliputi aspek kajian logistik dan penghantaran CO2 , model geofizik dan geomekanikal, simulasi takungan dan penyelidikan pembendungan sementara meneroka aplikasi teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI) dan juga meningkatkan keupayaan kapasiti simpanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas CCS Solutions Sdn. Bhd. (PCCSS), Nora’in Md Salleh berkata, perjanjian dengan ADNOC dan Storegga akan membolehkan pihaknya membina keupayaan untuk membangunkan akuifer salina nyah risiko sebagai tapak simpanan karbon dioksida melalui memberi manfaat kepada rakan syarikat.
“Usaha sama strategik ini adalah seiring dengan misi Petronas untuk menjadikan Malaysia sebagai hab CCS untuk memenuhi keperluan rantau Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Petronas adalah ahli kepada Malaysia’s National Energy Transition Roadmap (NETR) Committee, yang mana CCS telah dikenali sebagai salah satu daripada enam tuas peralihan tenaga yang membolehkan negara lebih mampan, karbon rendah dan juga berdaya tahan.
“Malaysia berminat untuk memperhebatkan lagi dagangan ekonomi dua hala dengan UAE dalam bidang ekonomi, pelancongan dan keusahawanan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tenaga boleh baharu, pertanian, sekuriti makanan, alam sekitar dan juga infrastruktur melalui rangka kerja Malaysia-UAE Joint Committee for Cooperation (JCC),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE