PUTRAJAYA – Kerjasama antara syarikat Malaysia dan India dilihat perlu terus diperkukuh dalam membangunkan beberapa bidang utama seperti peralihan tenaga dan keselamatan makanan susulan pelaksanaan beberapa program baharu ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, lebih banyak bidang perlu diteroka kedua-dua negara selain memperkukuh jalinan kerjasama berikutan persahabatan yang lama terjalin.
“Tetapi, lebih daripada itu, kita juga turut memulakan program baharu seterusnya berharap syarikat India dan Malaysia dapat bekerjasama dalam semua bidang termasuk yang memberi cabaran baharu seperti peralihan tenaga, digital serta keselamatan makanan.
“Kita turut tekankan keperluan menggunakan kepakaran serta pengalaman kedua-dua pihak dalam bidang semikonduktor di mana kita bertuah untuk dianggap sebagai hub di rantau Asia Tenggara,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi di New Delhi hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam pertemuan bersama Modi, kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa perkara lain seperti pelaburan, perdagangan, digital serta pendidikan.
“Antara isu lain termasuk visa, penerbangan dan beberapa perkara lain. Selain itu, mengenali cara Modi bekerja, beliau juga kurang menggemari kerja itu ditangguh.
“Jadi, kami meletakkan jangka masa selama tiga bulan dengan meminta pegawai untuk menjalankan tugas mereka (berkaitan perkara dibincangkan) dan melaporkan kemajuan kerja itu,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar tiba di Pangkalan Tentera Udara Palam di New Delhi, India pada Isnin bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari hingga Rabu ke negara berkenaan.
Untuk rekod, ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke India sejak menerajui kerajaan pada 2022 selain dilihat penting kerana menjadi jadi titik tolak Utama dalam mengeratkan hubungan dua hala kedua negara.
Pada lawatan rasmi itu, Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital Gobind Singh Deo; dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.-KOSMO! ONLINE