IPOH – Penjualan diesel di stesen minyak berhampiran sempadan negara mengalami penurunan mendadak dan penyeludup kini beralih kepada aktiviti menyeludup petrol RON95.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada individu dan syarikat agar mematuhi perundangan termasuk tidak membuat pembelian berulang ke atas diesel dan petrol RON95.
Katanya, KPDN menjalankan operasi Ops Tiris 3.0 bagi membendung kegiatan itu membabitkan diesel, petrol RON95, minyak masak satu kilogram, gula, gas petroleum cecair (LPG) dan tepung gandum.
“Sehingga 18 Ogos lalu, sebanyak 1,946 kes dicatatkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM75.44 juta hasil aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi.
“Berdasarkan statistik, bermula 1 Januari hingga 18 Ogos lepas, sebanyak 28,387 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara. Sebanyak 478 tangkapan dilakukan dalam tempoh sama,” katanya selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama pengusaha stesen minyak di Perak hari ini. – KOSMO! ONLINE