fbpx

Nuril juara sulung pertandingan CIMB Rising Start ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Ketua Komunikasi Korporat, CIMB Thai, Nattanee Kasemrattakul; Toni Darusman; Nuril dan Ketua Acara Korporat Serantau, CIMB Group, Ismail Ani Arope pada acara kemuncak CIMB Rising Start ASEAN di Jakarta, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pertandingan pencarian bakat nyanyian, CIMB Rising Start ASEAN telah mencapai kemuncaknya baru-baru ini, yang menyaksikan Sharifah Nurilmuhayati Syed Hussain atau juga dikenali sebagai Nuril, 26, dari Gombak muncul sebagai juara pertandingan tersebut. 

Nuril telah mengharumkan nama negara sebagai juara di mana Malaysia buat julung kalinya mengambil bahagian dalam CIMB Rising Start ASEAN. Penganjuran tersebut menegaskan komitmen CIMB ke arah memajukan pelanggan dan masyarakat, dengan mengumpulkan serta memupuk individu berbakat yang memiliki aspirasi untuk menjadi penyanyi dari seluruh rantau khususnya Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tempat kedua disandang oleh Jesica Theresia Koloay, 27, diikuti Annisa Anastasia Ayu Jamaluddin, 20, kedua-duanya dari Indonesia, manakala Anugerah Kegemaran diraih Marvin Restituto Ilagan, 33, dari Filipina.

Seorang lagi wakil negara, Feli Stacy Paimin, 18, berjaya menduduki tempat lapan teratas.

Terbuka kepada semua yang berusia antara 12 dan 40 tahun, peserta perlu menjalani uji bakat menerusi platform TikTok dan Instagram, atau secara atas talian di negara asal mereka. 

Setiap peserta perlu membuat persembahan lagu ‘Kejar Mimpimu’ hasil karya artis Indonesia, Dee Lestari yang mana seni kata lagu berkenaan cuba memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai untuk mengejar impian mereka.

Pemenang CIMB Rising Start tahun ini menerima hadiah wang tunai, selain diketengahkan sebagai model dalam video muzik ‘Make It Happen’ yang merupakan versi Inggeris bagi ‘Kejar Mimpimu’.

Juara juga bakal mempersembahkan lagu ‘Make It Happen’ bersama penyanyi terkenal Indonesia dalam Konsert Kejar Mimpi untuk Indonesia yang bakal diadakan di De Tjolomadoe, Surakarta pada 24 Ogos ini.

Ketua Pegawai Penjenamaan & Pemasaran Kumpulan, CIMB, Toni Darusman berkata, tahun ini merupakan detik yang sangat penting bagi inisiatif berkenaan, memandangkan Malaysia bakal mempunyai wakil sendiri buat pertama kali di Konsert Kejar Mimpi yang akan datang, susulan peringkat akhir pertandingan CIMB Rising Start yang telah berlangsung baru-baru ini. 

Nuril berjaya menonjolkan keupayaan nyanyian di pentas final hasil bimbingan penyanyi dan penulis lagu terkenal, Hael Husaini.

Tambahnya, inisiatif tersebut juga selaras dengan ulang tahun CIMB Malaysia ke 100 dan slogan CIMB Group, iaitu Melangkah Ke Hadapan Bersamamu. 

“Saya gembira melihat CIMB memainkan peranan sebagai pemangkin dalam mengubah impian Nuril menjadi kenyataan. 

“Sejak penubuhan pertandingan CIMB Rising Start pada tahun 2014, acara tersebut sentiasa berada di barisan hadapan dalam menemukan bakat-bakat terpendam sebagai sokongan untuk terus menyemarakkan lagi perkembangan industri seni kreatif. 

“Kami pasti akan terus menunaikan janji untuk memperkasakan komuniti dan masyarakat sekitar,” ulas beliau.

Sementara itu, bagi Nuril, perjalanannya dalam CIMB Rising Start memberikan satu pengalaman yang sangat berharga, lebih-lebih lagi memandangkan dia baharu sahaja mendirikan rumah tangga, beberapa hari sebelum peringkat akhir pertandingan di Jakarta pada 31 Julai lalu.

“Saya benar-benar tidak menjangka akan menang kerana mempunyai masa terhad untuk membuat persediaan, malah pernah mempertimbangkan untuk menarik diri sahaja kerana terlalu banyak perkara yang berlaku ketika itu.

“Namun demikian, dengan iltizam berteraskan semangat untuk tidak berputus asa, Saya akhirnya membuat keputusan untuk menyertai peringkat akhir di Jakarta kerana ini adalah peluang sekali seumur hidup. 

“Meskipun tidak begitu sihat mungkin kerana terlalu penat, saya meneruskan niat untuk menikmati sepenuhnya saat-saat pertandingan dan yang paling penting, melakukan yang terbaik tanpa mengira menang atau kalah,” katanya.

Pada masa sama, Nuril turut menzahirkan rasa penghargaan kepada suami, keluarga dan rakan-rakan, selain penyanyi dan penulis lagu terkenal, Hael Husaini yang telah banyak memberi tunjuk ajar termasuk dalam pemilihan lagu yang telah berjaya menonjolkan keupayaan dan bakat nyanyiannya, seterusnya memberi kelebihan berbanding pesaing lain.  

“Ini pastinya hanya satu permulaan, saya akan terus mengejar ke arah merealisasikan cita-cita saya. 

“Saya bercadang untuk terus terlibat aktif dalam industri muzik dan menyanyi, seterusnya cuba merealisasikan impian untuk menerbitkan lagu baru dalam masa terdekat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI