PETALING JAYA – Bekas pekerja am sebuah sekolah menyesal tidak sudah selepas gurauan kasar dengan guru berkaitan kematian menjadi kenyataan apabila wanita itu maut dalam kemalangan bas.
Kisah itu dikongsikan bekas pendidik dikenali Bilal Omaq yang menceritakan pengalamannya ketika berkhidmat di sebuah sekolah pada tahun 1990-an.
Bilal berkata, pekerja am itu diberi nama Abang Li seorang yang suka bergurau dan kelakar, namun adakalanya jenakanya dianggap tidak sesuai dan kasar.
“Sekolah kami didatangi guru baharu dari Johor. Dia anak dara dan pendiam. Abang Li suka mengusik, mengajuk cakap kadangkala saya rasa tak sesuai,” katanya meneusi video yang dimuat naik di TikTok.
Bilal berkata, suatu hari semasa waktu rehat, seorang guru berasal dari Terengganu menunjukkan kain batik dibawa dari kampung untuk dijual kepada rakan-rakan guru lain.
“Cikgu dari Johor ini pilih tiga kain batik lepas. Abang Li kata, ‘elok kain batik panjang, bila mati tak gaduh dah, kita tutup dengan kain batik panjang. Lepas badan cikgu, panjang elok’. Cikgu itu tak kata apa, hanya senyum,” ujarnya.
Meneruskan cerita, Bilal berkata, pada hari terakhir, guru tersebut menyiapkan tugasannya sebelum pulang ke kampung.
“Lepas waktu sekolah, dia menempah teksi. Abang Li tegur, ‘hai cikgu nak balik cepat kelam-kabut ada kenduri ke?
“Cikgu itu senyum. Abang Li kata, ‘amboi kenduri tak panggil ni, ke kenduri arwah cikgu? Cikgu tu kata, ‘ya, kenduri arwah’ dan lepas itu cikgu tersebut senyum, lambai tangan kepada Abang Li dan naik teksi,” katanya.
Bilal berkata, keesokan harinya, siaran berita di radio memaklumkan terdapat kemalangan bas di Lebuh Raya Utara-Selatan dan salah seorang yang meninggal dunia adalah guru tersebut.
“Abang Li menangis teringat gurauan kain batik dan kenduri arwah. Sejak peristiwa itu, Abang Li berubah menjadi pendiam.
“Dia memang rasa bersalah. Sekarang dia dah pencen, tapi kalau saya jumpa dia dan bercakap tentang kisah tu, bergenang air matanya rasa berdosa,” katanya. – KOSMO! ONLINE