LUNDU – Kecewa dan rasa bersalah kepada diri sendiri berlaku kali kedua dalam sejarah hidup Louis Joph, 53, meskipun lelaki itu berjaya menyelamatkan nyawa 10 pelajar dalam tragedi perahu penambang karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit di sini pagi tadi.
Menceritakan detik cemas itu, Louis berkata, dia terdengar bunyi jeritan meminta tolong mengatakan ada perahu karam sewaktu menghantar anaknya ke sekolah dan ibunya ke hospital untuk dialisis.
“Pada awalnya saya fikir nak menggunakan perahu tapi semua berkunci, jadi (kaedah) paling cepat adalah berenang kerana saya mahu menyelamatkan mereka. Kalau saya tak pergi, siapa nak pergi?
“Ketika kejadian saya pakai seluar jeans, jadi ‘berat’ untuk berenang namun saya berdoa, ‘Tuhan, kalau inilah yang Tuhan mahu, saya buat dan serahkan yang selebihnya kepada Tuhan’.
“Kemudian saya terjun dan berenang sebelum jumpa budak sedang berpaut pada papan sambil menangis,” katanya ketika ditemui hari ini.
Luois berkata, dia bernasib baik apabila menjumpai perahu tidak berkunci lalu mengambil dan menganyuh menggunakan tangan bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang lain.
Kesemua mangsa dalam keadaan panik dan berpaut pada bumbung perahu. Louis berkata, satu penyesalan terbesar baginya apabila gagal menyelamatkan tiga lagi mangsa berikutan perahu tersebut sudah penuh. – KOSMO! ONLINE