KUALA LUMPUR – “Nak bersolek boleh tetapi perlu sedar kita di Malaysia.”
Demikian respons pelakon, Ucop berhubung tindakan segelintir pempengaruh atau ‘influencer’ lelaki yang semakin berani bersolek dan berpakaian seperti wanita dalam konten media sosial mereka.
Menurut Ucop yang juga seorang pempengaruh, tindakan bersolek itu adalah hak masing-masing namun tetap harus lebih sensitif dengan faktor geografi dan budaya.
“Isu bersolek ini terpulang kepada individu itu sendiri, kalau niat dia (influencer lelaki) nak jadi perempuan kita sendiri pun tahu apa akibatnya.
“Lebih-lebih lagi bila kita duduk di Malaysia yang ada budaya sendiri. Kalau bersolek sekadar untuk konten tiada masalah pada saya.
“Bagi saya semua orang berhak nak buat apa sahaja untuk pengisian kandungan dan bermanfaat untuk orang ramai,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar dan tayangan perdana drama bersiri Viu iaitu The Secret di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ucop berkata, seseorang pempengaruh yang bijak fikir panjang sebelum memuat naik sebarang konten dalam platform media sosial mereka.
“Setiap influencer perlu melihat semula kandungan yang mereka buat, kalau seperti ada kaitan dengan agama, sepatutnya perlulah dielakkan.
“Perlu ditapis supaya tak mencetuskan sebarang spekulasi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya yang pernah popular dengan menghasilkan video parodi menerusi platform Dubsmash.
Terdahulu, kecoh dalam media sosial mengenai penampilan segelintir pempengaruh lelaki yang hadir ke TikTok Awards 2024 kerana menggayakan solekan dan pakaian seakan-akan wanita.
Rentetan itu, rata-rata netizen mempersoalkan perkara tersebut kerana merasakan konten sesuatu yang tidak sihat untuk disaksikan masyarakat di Malaysia. – KOSMO! ONLINE