PETALING JAYA – Kolej UNITI Port Dickson dan Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan dan Kosmetika Majelis Ulama Indonesia (LPPOM-MUI) menjalinkan kerjasama meliputi bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan latihan berkaitan halal, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, kedua-dua pihak bakal berkongsi kepakaran dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.
“Kami akan berkongsi pengalaman dalam pensijilan halal Malaysia dan pembangunan talen industri halal, manakala LPPOM-MUI menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal serta perundingan berkaitan.
“Kedua-dua pihak juga berpeluang meneroka pelbagai program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta penempatan pelajar Kolej UNITI Port Dickson menjalani latihan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Gedung Halal Global, Bogor, Jawa Barat hari ini.
Amir Hamzah berkata, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson adalah satu pengiktirafan memandangkan ia merupakan Penyedia Latihan Halal (PLH) yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Sejak 2013, Kolej UNITI melahirkan ribuan graduan bidang halal. Pusat Kecemerlangan Halal UNITI (UHAC) juga sehingga kini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten tempatan dan antarabangsa.
“Kita juga harap dapat bantu tingkatkan jumlah pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia untuk sambung pengajian dalam bidang halal di Kolej UNITI,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE