fbpx

‘King’ rupanya tersilap jalan ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar sebuah kereta Perodua Myvi yang melawan arus di Jalan Masjid Negeri, George Town.

GEORGE TOWN – Pemandu kereta Perodua Myvi atau ‘King’ yang tular memandu secara melawan arus di Jalan Masjid Negeri, di sini Sabtu lalu dikatakan tersilap jalan ketika mahu ke sebuah hospital swasta di Jelutong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, pihaknya telahpun mengambil keterangan daripada pemuda berusia 28 tahun itu selepas terkesan dengan satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 39 saat menerusi halaman X, kira-kira pukul 3 petang, kelmarin.

“Rakaman video tersebut memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu secara melawan arus. Hasil semakan mendapati, kejadian berlaku pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 4.48 petang di Jalan Masjid Negeri.

“Susulan daripada itu, pemandu tempatan dari Seberang Perai Selatan itu telah dipanggil untuk diambil keterangan.

“Hasil siasatan, pemandu terbabit mengaku yang dia tidak mahir laluan di sini (bahagian pulau) dan tersilap jalan ke sebuah hospital swasta di Jelutong. Sebelum ini, dia menggunakan jalan yang lain,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, polis telah mengeluarkan satu saman mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemandu terbabit.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman video berkenaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI