PETALING JAYA – Keinginan seorang kanak-kanak lelaki mahu makan kuih pau sebagai pengganti makan tengah hari bertukar detik cemas apabila dia terperangkap lebih 10 jam di dalam lif bersama rakannya, semalam.
Kejadian berlaku di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur membabitkan mangsa,
Faiq Adiwira Rosli, 11, bersama rakannya, Muhammad Harith Absyar, 10, yang terperangkap di dalam lif dipercayai antara pukul 2.30 petang dan diselamatkan kira-kira pukul 12.50 tengah malam tadi.
Menceritakan kejadian itu, Fospaliza Md. Sariff, 48, iaitu ibu Faiq Adiwira berkata, selepas pulang dari sekolah, anaknya memaklumkan mahu membeli kuih pau bersama-sama rakannya yang tinggal di luar pangsapuri tersebut.
Katanya, selepas lama menunggu, Faiq Adiwira yang juga anak kelima daripada enam beradik belum pulang ke rumah, sekali gus mereka menyangka dia pergi bermain.
“Bagaimanapun kira-kira pukul 7 malam, dia masih belum pulang dan kelam-kabut waktu itu sebab anak saya tak pernah buat hal. Kami tanya dengan pengawal keselamatan kondominium, namun dia tidak mengenalinya.
“Anak saya yang lain juga mencari Faiq Adiwira di masjid memandangkan dia selalu ke sana, namun tiada kelibatnya. Kami juga mencari di kawasan padang dan seluruh kawasan, tetapi tidak berjaya menemuinya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Fospaliza berkata, mereka kembali mencari Faiq Adiwira di masjid, namun diberitahu tidak nampak kehadiran anaknya pada asar dan maghrib, hanya terlihat kanak-kanak itu pada waktu zuhur iaitu selepas dia pulang dari sekolah dan mahu menunaikan solat di situ.
“Kami pelik ke mana dia pergi, anak tak pernah buat hal. Saya pernah marah dia pulang lewat 7.05 malam dan sejak itu tak pernah lagi pulang lewat. Kami juga ke rumah Absyar (rakan Faiq Adiwira), namun dia juga tiada.
“Sehinggalah pukul 9 malam, kami buat laporan polis dan dalam masa sama, kami masih mencari Faiq Adiwira. Selepas itu, bapa Absyar pula membuat laporan polis,” katanya.
Fospaliza berkata, sekitar pukul 12.30 tengah malam, polis dari Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menghubunginya meminta surat beranak Faiq Adiwira.
“Waktu saya tengah buat kerja imbasan surat beranaknya di komputer dalam bilik, saya dengar suara panggil ‘mummy, mummy’. Rupanya anak saya pulang bersama Absyar ditemani oleh seorang ‘guard’ dan orang awam.
“Saya tanya, ‘korang pergi mana?’, dan baru dia menangis dan menceritakan dia di dalam lif. Bayangkan anak terperangkap dalam tu tak makan tengah hari langsung sebab dia nak makan pau pada mulanya.
“Anak saya dan rakannya tidur beberapa kali dalam lif. Saya tak tanya lebih kejadian malam tadi sebab dia pun letih sangat dah lembik, hari ini dia ke sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Fospaliza berkata, anaknya telah membunyikan loceng beberapa kali serta menjerit, tetapi tiada sesiapa pun yang memberi maklum balas.
“Pernah berlaku kejadian lif terperangkap di kondo ini, tapi melibatkan orang dewasa dan mereka ada telefon bimbit. Anak saya tidak ada telefon, jadi tidak boleh berhubung.
“Sepatutnya, lif tersebut perlulah ada pemantauan. Jadi saya telah mengadu kejadian itu kepada pihak pengurusan kondominium pagi tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE