PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyeru agar rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam kempen memuat naik video dan gambar mengibarkan Jalur Gemilang pada 31 Ogos dan 16 September ini di platform media sosial dengan tanda pagar #KibaranJiwaMerdeka.
KPN dalam kenyataan berkata, Kempen Kibaran Jiwa Merdeka sebahagian usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta budaya.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata, kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara.
“Melalui konsep Malaysia Madani, ia kunci utama bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat mengambil bahagian dalam Kempen Kibaran Jiwa Merdeka ini,” katanya hari ini.
Beliau turut berharap, agar media sosial diserikan dengan gambar-gambar patriotik yang akan menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia serta menanam pohon-pohon perpaduan.
“Kementerian berharap agar kempen ini secara tidak langsung dapat meraikan kepelbagaian, mempromosikan kebersamaan seterusnya membentuk jati diri yang dapat membina semangat cintakan negara,” ujarnya – KOSMO! ONLINE