PASIR MAS – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan khidmat kaunseling secara berterusan kepada suami dan tiga anak guru yang dibunuh kejam, Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, selain itu, pihak kementerian juga akan melihat keperluan lain termasuk pencen dan kebajikan terhadap anak-anak mangsa.
“Saya bersama warga KPM berkunjung ke rumah arwah Istiqomah untuk menyampaikan sumbangan dan ucapan takziah kepada keluarganya.
“Bantuan kaunseling kepada keluarga arwah untuk memberi sokongan kepada mereka. Selain itu, KPM turut akan mempertimbang beberapa bantuan dan aspek lain kepada keluarga arwah Istiqomah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Istiqomah di Kampung Kubang Badak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, berdasarkan maklumat, Allahyarham Istiqomah merupakan seorang guru yang berdedikasi.
Menurutnya, mangsa mengajar subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT) di sebuah sekolah rendah dan sentiasa komited dengan tugasnya.
“Kehilangan arwah merupakan satu kehilangan dan memberi kesan kepada KPM.
“Justeru, khidmat kaunseling yang diberikan kepada keluarga mangsa diharap dapat membantu mereka. Semoga keluarga arwah tabah dengan ujian yang perlu dihadapi ketika ini,” katanya.
Sementara itu, suami kepada Cikgu Istiqomah, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berkata, dia terharu dan menghargai kunjungan dan bantuan kewangan daripada Menteri Pendidikan semasa melawat keluarganya hari ini.
Menurutnya yang bekerja sebagai juruteknik, khidmat kaunseling itu merupakan satu bantuan yang penting kepadanya memandangkan emosi tiga anak masih tidak stabil selepas mengetahui kejadian menimpa arwah Istiqomah.
“Buat masa ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor ada datang ke rumah saya di Johor Bahru pada minggu lalu. Saya harap bantuan kaunseling KPM dapat membantu kami sekeluarga.
“Buat masa ini, fokus saya adalah untuk membesarkan tiga anak iaitu Naura Auni,9, Naufal Amzar ,6, dan Nayla Aisya, 4, selain mahu memastikan emosi mereka berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Istiqomah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar, Bandar Pasir Mas di sini kira-kira pukul 11.50 malam tadi. – KOSMO! ONLINE