SEPANG – Mungkin pemilik tanah atau penduduk setempat sudah hilang sabar dengan tindakan segelintir individu yang terus membuang sampah di kawasan itu.
Itu dapat digambarkan menerusi paparan doa pada kain rentang yang disifatkan penuh ‘insaf’ dan ‘pedih’ dipasang atas sebuah tanah dipercayai milik persendirian berdekatan Kampung Limau Manis, di sini.
Tertera pada kain rentang itu ialah sepotong doa, ‘Ya Allah, Jadikanlah aku miskin tujuh keturunan jika membuang sampah di sini’.
Potongan doa itu sudah cukup menggambarkan rasa marah penduduk terhadap tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah disitu.
Tinjauan di lokasi itu mendapati, kain rentang itu dipasang di tepi laluan alternatif penduduk dari Kampung Limau Manis, Desa Putra dan kawasan sekitar untuk ke Lebuh Wadi Ehsan.
Selain itu, tinjauan mendapati tiada sampah baharu dilihat di kawasan itu kecuali sisa sampah sarap dan sisa binaan yang telah dikambus serta diratakan.
Seorang penduduk setempat yang mahu dikenali sebagai Kamarul, 35, berkata, kain rentang itu dipasang beberapa bulan lalu sebagai peringatan dan larangan untuk membuang sampah di situ.
Katanya, dia tidak pasti sama ada tanah itu milik persendirian atau tidak namun, tindakan (gantung kain rentang) itu tepat sebagai amaran dan peringatan tegas.
“Kawasan itu berdekatan dengan lereng bukit dan penduduk sekitar suka membuang sampah disitu sebelum ini selain sisa-sisa binaan,” katanya.
Katanya, kawasan itu terletak kira-kira 50 meter daripada Tanah Perkuburan Taman Raudhatul Jannah Khariah, Kampung Limau Manis dan agak tersembunyi. – KOSMO! ONLINE