fbpx

Ibu tunggal tertekan tujuh tahun ‘dikejar’ Datuk Seri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chan ( tengah) dan sepasang suami isteri hadir ke Wisma MCA hari ini untuk mengadu berkaitan kes stalker, fitnah dan buli siber.

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal melalui episod perit selepas dihendap ahli perniagaan bergelar Datuk Seri sejak tujuh tahun lalu.

Mangsa yang ingin dikenali Chan, 46, berkata, kehidupannya bersama dua anak perempuan terganggu dan dalam ketakutan kerana tindakan lelaki tersebut yang semakin berani dan  agresif.

“Sehingga kini, lelaki berusia 50 tahun itu menghantar sebanyak 2,000 e-mel bertulis ‘saya cinta awak’ selain menghantar gambar swafoto yang tidak senonoh.

“Dia juga mempunyai kad akses untuk masuk ke kondominium saya dan menggunakan pelbagai nombor telefon untuk menghubungi saya, mengugut dan memfitnah.

“Lelaki itu turut menghubungi orang terdekat saya beritahu saya ada masalah mental dan memerlukan bantuan kewangan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Chan memberitahu, lelaki itu juga menceroboh privasinya dan mengetahui maklumat peribadinya termasuk nombor akaun bank dan aktiviti sehariannya.

Certia Chan, dia mengenali lelaki itu pada 2017 ketika berkhidmat sebagai ejen hartanah.

“Semuanya bermula baik tetapi sikapnya bertukar agresif apabila dia mula menghendap aktiviti saya serta orang terdekat termasuk ibu dan bekas suami.

“Dia juga menawarkan wang RM1 juta jika saya bersetuju mengandungkan anaknya. Dia betul-betul mengganggu hidup saya apatah lagi dia juga sudah berkahwin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima aduan sebanyak dua kali daripada Chan berkaitan gangguan tersebut.

“Lelaki itu dipanggil ke pejabat saya pada tahun 2021. Dia turut membawa bunga untuk diberikan kepada Chan. Saya ingatkan kes ini sudah selesai tetapi Chan beritahu dia masih diganggu lelaki sama sampai sekarang.

“Oleh itu, saya berharap pendedahan ini dapat menghentikan perbuatan lelaki tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Michael Chong menerima aduan daripada pasangan suami isteri yang menjadi mangsa buli siber, fitnah dan stalker.

Mangsa tersebut, Lim Kai Shian berkata, sejak 2011 dia telah diserang di Facebook selepas dituduh menghamilkan seorang wanita.

“Saya tidak kenali individu itu dan sehingga kini dia masih membuat hantaran di Facebook untuk memfitnah dan mengganggu isteri saya. Saya telah membuat laporan polis tahun lepas,” katanya. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI