PUTRAJAYA – Hasrat para peminat astronomi tempatan menyaksikan kejadian bulan berada paling dekat dengan bumi atau Supermoon mungkin berlaku sedikit gangguan pada esok.
Menurut pakar falak, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zambri Zainuddin berkata, faktor cuaca setempat dijangka menyukarkan proses penampakan fenomena nadir berkenaan.
Katanya, bulan ketika fenomena ini muncul akan kelihatan 6.2 peratus lebih besar berbanding imej kelazimannya.
“Insya-Allah jika keadaan di langit mengizinkan, orang awam dapat melihat Supermoon tetapi kalau hujan, peristiwa alamiah ini tidak dapat dicerap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengunjurkan ribut petir dan hujan lebat berlaku ketika kejadian Supermoon muncul pada esok.
Berdasarkan data yang disiarkan portal astronomi antarabangsa, Astropixels, fenomena itu dijangka terjadi tepat pukul 5.05 pagi GMT (kira-kira 12.05 tengah hari waktu Malaysia).
Semasa peristiwa ini, perigee atau jarak bulan dekat dengan bumi dianggarkan 361,970 kilometer dan merupakan Supermoon yang pertama kali muncul untuk tahun ini. – KOSMO! ONLINE