MELAKA – Penanaman semula pokok kelapa sawit yang tidak mencapai standard menjadi punca pengeluaran industri itu semakin menyusut mencecah 1.1 juta tan metrik berbanding 10 tahun lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peratusan penanaman yang masih rendah iaitu 1.8 peratus setahun dikhuatiri meletakkan industri sawit senasib dengan getah yang tidak lagi mampu menampung keperluan negara.
Katanya, langkah pencegahan perlu dilakukan segera oleh pemain industri termasuk pekebun kecil dengan membuat penanaman semula pokok yang menghampiri usia 20 tahun pada kadar tahunan ditetapkan antara empat dan lima peratus setahun.
“Penanaman semula pokok kelapa sawit negara ketika ini tidak mencapai kadar tahunan ditetapkan menyebabkan pengeluaran menurun daripada 19.6 juta kepada 18.5 juta tan metrik berbanding 10 tahun lalu.
“Malaysia merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia dengan jumlah eksport 14.8 juta tan metrik, namun kedudukan itu boleh berubah sekiranya kadar penanaman semula tidak dikawal dengan baik.
“Perkara ini telahpun terjadi kepada industri getah. Sebelum ini Malaysia pengeluar getah nombor satu dunia, namun kini terpaksa mengimport dengan nilai RM6 bilion setahun bagi menampung keperluan perkilangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Pekebun Kecil Sawit 2024 di Bandar Hilir di sini, hari ini.
Tambah Johari, pihaknya difahamkan terdapat 1.7 juta hektar tanaman berusia lebih 19 tahun yang masih dibiarkan dan dijangka memberi impak dalam jumlah pengeluaran mendatang.
“Keadaan ini akan memberi impak kepada sektor komoditi negara pada masa mendatang, jadi inilah sebabnya jika kita tidak membuat penanaman semula sekurang-kurangnya empat atau lima peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE