fbpx

Hanya kerana RM500, penganggur seludup ganja berdepan hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja yang dirampas polis di hadapan sebuah kedai wakil insurans di sini Ahad lalu.

PADANG BESAR – Hanya kerana upah RM500, seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dicekup bersama sejumlah dadah jenis ganja di Jalan Padang Besar di sini pada Ahad lalu.

Dalam operasi pada pukul 12.05 tengah hari itu, suspek berusia 32 tahun ditahan selepas didapati membawa sebanyak 2.85 kilogram (kg) ganja di hadapan sebuah kedai wakil insurans di sini

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komusioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, suspek ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek duduk atas sebuah motosikal Yamaha LC135 di hadapan premis itu. Pemeriksaan lanjut, polis menemui bungkusan plastik di tangannya berisi ganja seberat 2.85 kg,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima upah sebanyak RM500 daripada lelaki dari negara jiran untuk membawa masuk barang terlarang tersebut ke negara ini.

“Suspek mempunyai 11 rekod kes dadah dan ujian saringan awal air kencing menunjukkan lelaki itu positif methamphetamine. Dadah bernilai RM9,300 itu boleh digunakan kira-kira 2,850 penagih. Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI