LONDON – Era baharu Chelsea di bawah kendalian pengurus, Enzo Maresca tidak bermula seperti diharapkan apabila tewas 0-2 kepada Manchester City pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam kelmarin.
Meskipun mampu memberi saingan kepada juara bertahan berkenaan, namun The Blues terpaksa akur gagal mengutip sebarang mata apabila tewas menerusi dua gol yang dijaringkan Erling Haaland dan Mateo Kovacic.
Bagaimanapun, Maresca menegaskan, anak-anak buahnya sudah menampilkan aksi terbaik apabila mencipta banyak gerakan menarik, namun ketumpulan jentera serangan yang diketuai Nicolas Jackson gagal untuk menghasilkan gol.
“Saya fikir persembahan semua pemain sangat baik. Memang kami tidak mahu kalah, tetapi semua orang perlu faham bahawa kami berdepan salah sebuah pasukan terbaik di dunia dan masih mampu memberikan saingan.
“Kami juga mencipta banyak gerakan untuk menjaringkan gol, tetapi apa yang menjadi perbezaan adalah ketika berada dalam kotak penalti. Mereka lebih pakar untuk memanfaatkan setiap peluang terhidang,” katanya.
Selepas mengemudi pasukan selama enam minggu, bekas pengurus Leicester City itu percaya mereka berada pada landasan terbaik untuk membentuk satu pasukan yang mampu bersaing merebut kejuaraan.
“Apa yang penting adalah untuk menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan. Bagi saya, kami sudah berada pada landasan terbaik, jadi selepas ini kami perlu mula mencatat kemenangan,” ujar Maresca. – AGENSI