LIVERPOOL – Para pemain Liverpool mengakui mereka tidak pernah rasa tertekan atau kecewa apabila pasukan itu masih belum membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini yang berbaki lebih kurang 10 hari sahaja lagi.
Aksi menentang Ipswich Town pada Sabtu lalu menyaksikan Liverpool hanya memiliki Ibrahima Konate, Cody Gakpo, Conor Bradley, Kostas Tsimikas, Darwin Nunez, Curtis Jones dan Harvey Elliott di bangku simpanan, manakala Joe Gomez tidak disenaraikan apabila dikaitkan dengan perpindahan.
Menurut pemain pertahanan, Andy Robertson, tidak ada perasaan panik dalam kalangan pemain di bilik persalinan The Reds setakat ini biarpun pengendali baharu mereka, Arne Slot belum melakukan sebarang pembelian baharu.
Katanya, pasukan itu masih memiliki skuad yang cukup dan kuat untuk bersaing pada musim ini dan kemenangan 2-0 ke atas Ipswich adalah bukti bahawa mereka benar-benar sudah bersedia.
“Saya fikir kami memiliki skuad yang luar biasa dan hebat. Anda boleh melihat bangku simpanan, kami mungkin tidak ramai, tetapi semua pemain yang ada cukup berkualiti dan bersedia untuk memberikan aksi terbaik.
“Kami memiliki kualiti di setiap posisi dan jika ini adalah skuad yang kami ada untuk musim ini, ia sudah lebih daripada cukup untuk kami memberikan saingan.
“Semua orang mahu melihat Liverpool membawa masuk pemain baharu, peminat sangat menantikan, tetapi pasukan ini sudah cukup kuat walaupun tanpa kehadiran muka baharu musim ini,” jelasnya. – AGENSI