IPOH – Perbuatan dua lelaki memecah masuk sebuah rumah dan mencuri barangan termasuk periuk dan sudip berbalas selepas mereka dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamad Faizal Muhamat Darus, 45, dan Mohd. Ismail Mohd. Abdul Aziz, 41, mengaku salah bagi pertuduhan berkenaan.
Mereka didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri wayar, periuk, tiga sudip masak dan dua batang besi di sebuah rumah di Taman Rasa Sayang antara pukul 10 dan 10.30 pagi pada 14 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
Dalam rayuannya, kedua-dua tertuduh memohon hukuman penjara singkat bermula dari tarikh tangkapan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara empat tahun dan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan. – KOSMO! ONLINE