ALOR GAJAH – Polis menahan dua lelaki disyaki penjenayah yang terlibat dalam kemalangan ketika melarikan diri daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di persimpangan lampu isyarat Pengkalan di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, pemandu dan penumpang kereta Toyota Vios berusia 45 dan 21 tahun cedera parah pada bahagian kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum kemalangan, kedua suspek dikejar anggota URB Melaka Tengah dari Kampung Lapan hingga ke persimpangan lampu isyarat Pengkalan.
“Unit peronda polis (MPV) Alor Gajah turut membantu mengejar suspek. Setibanya di lokasi, kereta dinaiki suspek memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Nissan Navara yang sedang menuju ke Durian Tunggal.
“Impak pelanggaran itu, pemandu dan penumpang Vios cedera parah. Mereka dikejarkan ke Hospital Alor Gajah, manakala pemandu Navara berusia 36 tahun tidak cedera,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pemeriksaan lanjut polis menjumpai dadah dalam kereta suspek dan juga alat pecah rumah. Polis mengesyaki suspek adalah penjenayah dan mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk siasatan. – KOSMO! ONLINE