ALOR SETAR – “Dia datang meminta supaya ruqyahkan anaknya kerana mendakwa kanak-kanak itu dirasuk sehingga menyebabkan perutnya buncit.”
Demikian dakwaan Imam Masjid Al-Hidayah Bukit Pinang, Mohd. Fauzi Bakar ketika diminta mengimbas kembali detik dia dihampiri lelaki etnik Rohingya yang ditahan di masjid tersebut kerana disyaki membunuh isteri dan anaknya di Pekan Simpang Kuala di sini malam tadi.
Menurut Mohd. Fauzi, lelaki itu berada di tangga masjid ketika dia bersama beberapa jemaah lain sedang keluar dari pintu utama selepas solat isyak.
“Sebaik melihat kami keluar masjid, dia terus menghampiri bersama seorang anaknya. Dia kemudian meminta tolong kerana katanya anaknya itu dirasuk. Berikutan kejadian itu, perut anaknya menjadi buncit.
“Ketika itu cuaca hujan dan kami agak tergesa-gesa untuk memenuhi jemputan sebuah rumah yang mengadakan tahlil. Saya pegang kepala anaknya lalu membacakan surah al-Fatihah selain ayat-ayat suci al-Quran.
“Tidak lama selepas itu, anggota polis datang dan terus memberkas lelaki tersebut. Saya tak tahu apa ceritanya sehinggalah seorang individu lain memaklumkan bahawa lelaki asing terbabit terlibat dalam kes bunuh,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambahnya, dia kemudiannya meninggalkan masjid dan tidak tahu apa lagi yang berlaku kerana menganggap segalanya telah selesai berikutan kedatangan polis.- KOSMO! ONLINE