ALOR SETAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 ke atas seorang buruh atas pertuduhan menawarkan rasuah kepada seorang anggota polis, tahun lepas.
Tertuduh, Md. Isham Desa, 36, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Tertuduh diperintah dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.
Hukuman penjara ke atas tertuduh diarah berjalan secara berasingan memandangkan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kes narkotik sehingga 20 Jun tahun depan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan wang suapan sebanyak RM1,000 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Balai Polis Kuah, Langkawi.
Suapan itu sebagai dorongan kepada anggota polis terbabit agar tidak mengambil tindakan ke atasnya yang ditangkap kerana memiliki dadah jenis syabu dan heroin.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di dalam kereta di sebuah kedai serbaneka di Taman Sri Langkawi, Jalan Padang Matsirat, Langkawi pada pukul 2.30 pagi, 27 Disember lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noor Azura Zulkiflee dan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman terhadapnya diringankan memandangkan dia terpaksa menyara seorang isteri dan tiga anak yang berusia enam hingga 18 tahun. – KOSMO! ONLINE