fbpx

‘Bila anak-anak sakit, saya jadi buntu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORSAHIYAH (dua dari kiri) melihat keadaan anaknya, Rabiatul yang terbaring ketika ditemui di rumahnya di Felda Tekam, Jerantut kelmarin.

JERANTUT – Seorang wanita berdepan ujian berganda apabila anak sulungnya diuji penyakit jantung, manakala anak keduanya pula kini terlantar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Mohamad Firdaus Hakimi Zulkifli, 17, disahkan menghidap sakit jantung sejak berusia 11 tahun. Adiknya, Rabiatul Adawiyah, 16, pula cedera patah tulang bahu kiri, pergelangan tangan dan dua jari kaki dalam nahas pada 13 Jun lalu.

Norsahiyah Said, 39, berkata, anak keduanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi Dua menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahu kiri pada 5 Ogos lalu dan perlu menjalani rawatan secara berkala.

“Ketika rawatan dua ming­gu lalu, saya membelanjakan RM3,500 termasuk penginapan dan sewa kereta ke hospital di Temerloh. Sekarang saya perlu berjimat untuk keperluan dapur dan persekolahan anak-anak.

“Anak sulung pula dalam pemerhatian doktor dan perlu dibawa ke hospital enam bulan sekali,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurut wanita itu, kesihatan anak sulungnya juga kerap terganggu dan badannya kurus. Dia bimbang penyakit itu boleh mengganggu pembelajaran kerana Mohamad Firdaus bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

“Disebabkan penyakit itu, dia hanya hadir ke kelas untuk belajar, tetapi tidak mampu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.

Norsahiyah kini bergantung harap dengan pendapatan suaminya sebanyak RM1,800 sebulan selain upah membersihkan rumah dan memotong rumput di kawasan Felda. Sejak anak keduanya terlantar, dia langsung tidak dapat ke­luar bekerja. Norsahiyah turut mempunyai tiga anak lain.

“Saya terpaksa berjimat dan makan sekadar apa yang ada, bukan untuk meminta-minta, saya tetap akan mencari rezeki, tetapi apabila berdepan masalah kesihatan anak-anak saya jadi buntu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Norsahiyah di talian 014-5466837 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156076045679 atas nama wanita itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI