fbpx

Bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOMM, 3 individu saman PDRM RM100j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Tawau - GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md. Zain serta tiga individu lain memfailkan saman berjumlah RM100 juta ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiga individu tersebut ialah Fabian Anak Rungan, Dennis Anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran yang bertindak selaku plaintif.

Selain jumlah saman itu, empat individu tersebut turut menuntut ganti rugi khas, deklarasi dan permohonan maaf daripada 11 defendan.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Lincon & Company diketuai peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon pada 15 Ogos lalu.

Kesemua plaintif menamakan Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah sebagai defendan pertama hingga keempat.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, Asisten Komisioner Ts. Dr. Mohd Hakim Hashom, Deputi Superintendan Yusman Shahri Marinsah dan Ketua Polis Negara sebagai defendan kelima hingga kelapan.

Mat Zaki menerusi kenyataannya berkata, walaupun pihaknya dan lain-lain plaintif sudah dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun tindakan itu diambil selepas beliau dan kesemua bekas anggota ESSCOM sebelum ini berasa terus ditekan daripada pelbagai sudut.

“Selain itu, ada antara kami dipindahkan keluar daripada ESSCOM selain ada dipindah keluar dari kontinjen Sabah tanpa sebarang justifikasi jelas.

“Walaupun kami masih dalam proses untuk pulih daripada kesan trauma disebabkan oleh tuduhan salah yang mereka buat tetapi hal ini seolah-olah memperlihatkan kami bersalah,” katanya.

Mat Zaki dalam kenyataan sama berkata, semua plaintif terus ditekan, dimalukan dan rayuan tidak dilayan.

Menurutnya, mereka terpaksa mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut ganti rugi dan sebagai langkah mahu memulihkan maruah di mata masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI